KUCHING, 6 Nov: Sarawak Regatta 2023 yang berlangsung di Tebingan Kuching mulai 27 Oktober lalu sehingga semalam memberi limpahan rezeki kepada golongan peniaga.
Seorang peniaga buah-buahan segar dan jus buah-buahan Sharifah Rosni, 54, berjaya meningkatkan pendapatan perniagaannya sepanjang acara Sarawak Regatta berlangsung.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memberi peluang kepada saya untuk berniaga di sini.
“Tempat ini memang bagus sebab mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dan pendapatan pun meningkat sehingga saya tutup perniagaan pada jam 12 malam,” katanya ketika ditemui TVS.
Dia mengakui bahawa program Regatta Sarawak telah memberi impak besar kepada perniagaannya dan berharap menambahkan lebih banyak produk dan variasi dalam inventori perniagaannya pada masa depan.
“Program ini sangat menarik dan membantu perniagaan saya. Sekiranya ada program sebegini lagi pada masa akan datang, saya akan mengambil peluang tersebut kerana ia membantu pendapatan saya.
“Bagi perancangan masa depan, saya mahu menambahkan lagi produk untuk dijual dan mempelbagaikannya supaya lebih ramai lagi yang akan datang,” tambahnya lagi.
Ini adalah satu langkah positif untuk memastikan lebih ramai pelanggan akan datang untuk menikmati produk-produk berkualiti daripada perniagaan tersebut pada acara-acara akan datang. -TVS