KUALA KANGSAR, 6 Nov: Dua pekerja kedai emas berdepan detik cemasa apabila barang kemas bernilai kira-kira RM1.4 juta yang dibawa dengan sebuah kereta dirompak sekumpulan lelaki bertopeng berdekatan sebuah kedai emas di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner (ACP) Omar Bakhtiar Yaacob berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira 11.20 pagi.
Katanya, kedua-dua mangsa yang merupakan jurujual kedai emas disamun sekumpulan lelaki yang tidak dikenal pasti identitinya.
“Suspek-suspek yang memakai topeng itu bersenjatakan parang dan tukul. Mereka didakwa telah memecahkan cermin kenderaan mangsa bagi mendapatkan barang kemas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujar beliau, kejadian itu turut mendapat perhatian orang ramai apabila rakaman video kejadian berkenaan yang dipercayai dirakam orang awam tular di media sosial.
Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Kangsar, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias di talian 013-928 5436 atau 05-776 2222 bagi membantu siasatan dan suspek sedang dikenal pasti.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan dengan bersenjata atau rompakan serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah.
Sementara itu, video 21 saat yang dimuat naik ke laman sosial memaparkan sekumpulan lelaki menaiki dua kenderaan sebelum berhenti di tepi kenderaan mangsa.
Video berkenaan memperlihatkan tiga lelaki berpakaian serba hitam yang menutup muka menggunakan sarung berwarna hitam kemudiannya melarikan beg-beg dipercayai mengandungi barang kemas dari kereta mangsa. – TVS