Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pemuda berusia 19 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di George Town hari ini atas pertuduhan merompak seorang wanita warga Kanada pada bulan lalu. Foto: TVS

Pemuda rompak pelancong Kanada dihantar ke Sekolah Henry Gurney

GEORGE TOWN, 6 Nov: Mahkamah Sesyen di sini hari ini, memerintahkan seorang pemuda berusia 19 tahun dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Telok Mas, Melaka, selepas didapati bersalah kerana merompak seorang pelancong wanita warga Kanada pada bulan lalu.

Hakim Mazdi Abdul Hamid memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu selama tiga tahun atau sehingga berusia 21 tahun, mana-mana terlebih dahulu selepas dia mengaku bersalah.

Ujar Mazdi, mahkamah membuat keputusan itu selepas mengambil kira tujuh faktor antaranya ia merupakan kesalahan pertama tertuduh, tidak ada sabitan lalu dan hukuman untuk memberi pengajaran kepadanya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak seorang wanita warga asing dengan mengambil sebuah telefon bimbit, beg galas, cermin mata, serangkai kunci dan kad British Columbia Services.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi sebuah kedai makan di Lebuh Campbell kira-kira jam 5.20 petang pada 29 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, denda dan sebatan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong, memohon mahkamah menjatuhi hukuman berat kerana ia adalah satu kesalahan serius selain untuk memberi pengajaran kepada masyarakat.

Dalam rayuannya, anak bongsu daripada empat beradik itu memberitahu mahkamah bahawa dia yang bersekolah sehingga darjah enam telah insaf atas perbuatan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya selain ibu bapa tidak bekerja.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan merompak dua wanita pada 3 dan 28 Oktober.

Dia meminta dibicarakan selepas pertuduhan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Kedua-dua kes itu akan disebut semula pada 4 Disember depan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan