Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara bersetuju terhadap tiga cadangan bagi menoktahkan kemiskinan tegar. Foto: Anwar Ibrahim (FB)

Mesyuarat MTEN setuju tiga cadangan menoktahkan kemiskinan – PM Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 6 Nov: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini bersetuju terhadap tiga cadangan bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

Anwar berkata MTEN bersetuju supaya bantuan tunai khas secara bulanan akan dipertimbangkan untuk melepasi paras garis kemiskinan (PGK) makanan bagi isi rumah yang tidak berkemampuan menyertai aktiviti menjana pendapatan atas faktor umur dan kesihatan.

“Semua agensi dan kementerian menyemak dan mengemas kini data untuk mengesahkan jumlah penerima isi rumah miskin tegar yang telah dibantu dan menjana pendapatan melebihi PGK makanan dalam 2023.

“Semua agensi perlu mengenal pasti isi rumah yang boleh menyertai program dalam tempoh berbaki tiga bulan dan diserapkan di dalam program-program yang ditawarkan mengikut kesesuaian,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat MTEN Bilangan 6 Tahun 2023, hari ini.

Menurut Perdana Menteri mesyuarat hari ini juga dimaklumkan mengenai status pelaksanaan dan usaha dalam menoktahkan miskin tegar serta cabaran-cabaran yang dihadapi.

Katanya banyak usaha dan program-program telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha membasmi kemiskinan tegar antaranya program terkait bantuan tunai bulanan, naik taraf kediaman, pemberian modal perniagaan, latihan kemahiran dan penjanaan pendapatan.

“Usaha-usaha ini telah pun dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam usaha menarik keluar rakyat dari belenggu miskin tegar,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata mesyuarat telah meneliti dan mendapati bahawa perbelanjaan pembangunan sebenar semakin mengecil secara relatif setiap tahun, walaupun belanjawan menunjukkan peningkatan besar dan hal ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya selain itu pelaksanaan projek pembangunan yang bermasalah dan mengalami kelewatan pelaksanaan telah menyebabkan peningkatan kos dan memberi kesan negatif terhadap kesan ekonomi.

Anwar berkata mesyuarat berkenaan turut mendapati penentuan spesifikasi dan penilaian kos projek-projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sukar dilakukan dengan berkesan, dan proses semakan kos adalah sukar tanpa satu piawai anggaran kos.

Katanya keadaan itu boleh menyebabkan pertindihan kerja yang berulang dan kenaikan kos projek ICT.

Beliau berkata dalam hal ini kerajaan akan melaksanakan tindakan segera untuk menambahbaik proses-proses dalam pelaksanaan projek belanja pembangunan (DE).

Katanya ini termasuk pembentukan pasukan rentas kementerian iaitu Kementerian Ekonomi (KE), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Kementerian Kewangan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan jabatan-jabatan terbabit untuk menyemak dan menyediakan kerangka penambahbaikan untuk diluluskan secara bersepadu oleh kerajaan.

Anwar berkata tindakan lain ialah keputusan dasar ke arah desentralisasi dan pemberdayaan pelaksanaan projek dan kawalan peruntukan kepada agensi pelaksana yang diimbangi dengan tadbir urus yang ketat.

Katanya tindakan lain ialah keputusan dasar ke arah pemusatan pelaksanaan projek ICT dan penentuan spesifikasi/kos di MAMPU untuk mengawal kos ICT dan sebagai persediaan ke arah GovTech. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan