KUCHING, 6 Nov: Program Malaysia Fair 2023 yang dianjurkan Kedutaan Malaysia di Tokyo baru-baru ini menyediakan medan kepada usahawan Sarawak mempromosikan jenama produk mereka.
Pengasas Nang Ori, Awaeang Kwasin merupakan seorang usahawan dari Sarawak, berpeluang membawa jenamanya ke program pameran yang berlangsung selama tiga hari.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak MATRADE, KUSKOP, SME Bank, FAMA dan beberapa agensi kerana menjemput kami para usahawan untuk sama-sama memperkenalkan produk tempatan kita dari Malaysia yang pada saya ia amat berkualiti dan setanding dengan jenama dari negara lain untuk diperkenalkan pada masyarakat Jepun.
“Sekali gus berpeluang meneroka peluang baru dan membina jaringan keusahawanan bersama usahawan dari negara matahari terbit ini,“ katanya kepada TVS pada Isnin.

Menurutnya, program ini mampu memberi impak terhadap perniagaan dan membantu meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Berkongsi keterujaannya menyertai program seumpama ini, Aweang memberitahu bahawa dia dan rakan kongsi perniagaan dari Jepun iaitu Oyake bertukar busana tradisional masing-masing.
“Saya mengenakan kimono dan Encik Oyake mengenakan busana kebanggaan orang Dayak beserta dengan aksesori yang dibuat daripada hasil tangan penduduk Sarawak,” katanya.
Pada acara tersebut juga, Awaeng turut mengambil peluang memperkenalkan produk terbaru mereka berasaskan lada Sarawak iaitu Sarawak Black Pepper Tea yang mempunyai lima perisa mengikut fungsi dan khasiat herba tersendiri.
“Proses sangat mudah dengan filter berteknologi fiber yang tersedia didalam cawan. Pengguna hanya perlu letak air panas dan gula jika perlu,” jelasnya.
Aweang optimis bahawa produk keluaran terbaru ini akan memenuhi citarasa warga Jepun.
‘Di Nang Ori, kami sangat suka mencari sesuatu yang sangat inovatif, memudahkan penggunaan dan kreatif,” katanya. – TVS