Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hiba selepas menerima berita kematian bapanya 15 minit sebelum naik ke pentas. Foto: Universiti Sultan Zainal Abidin - FB Rasmi

Graduan UniSZA hiba, terima berita kematian bapa pada hari konvokesyen

ByBernama

KUALA NERUS, 6 Nov: Kegembiraan seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menerima segulung ijazah bertukar hiba, selepas menerima berita kematian bapanya 15 minit sebelum naik ke pentas.

Walaupun dengan linangan air mata, graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Haslina Kalang, 23, terpaksa menggagahkan kaki untuk menerima skrolnya, dengan sokongan kakak sulung dan rakan-rakan seperjuangan.

Haslina yang berasal dari Tawau, Sabah berkata, beliau sememangnya berat hati untuk hadir ke majlis konvokesyen, kerana bapanya Kalang Toba, 56, sedang terlantar sakit selepas diserang angin ahmar.

Haslina yang berasal dari Tawau, Sabah. Foto: Universiti Sultan Zainal Abidin – FB Rasmi

Bagaimanapun, arwah bapanya tetap bertegas supaya dia menghadiri majlis tersebut, selepas tiga tahun berhempas-pulas menamatkan pengajian dengan serba kepayahan.

“Saya memang berat hati untuk datang menghadiri konvokesyen kerana keadaan ayah agak teruk. Tetapi beliau berkeras suruh datang, kerana nak tengok saya naik pentas memakai jubah konvokesyen.

“Sepanjang masa saya tak berhenti berdoa supaya ayah sihat dan saya sempat balik untuk tunjuk gambar sekurang-kurangnya, tetapi Allah lebih sayangkan dia,” katanya ketika ditemui pada majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA kali ke-15 di sini, hari ini.

Haslina berkata, walaupun terkilan kerana tidak dapat berada di sisi bapanya pada saat-saat akhir, beliau berpuas hati kerana telah sempat mencurah tenaga menjaga bapanya selepas tamat pengajian.

“Selepas tamat pengajian saya memang tak bekerja kerana nak jaga ayah. Alhamdulillah sempat juga saya berbakti kepadanya,” katanya.

Dalam pada itu pihak pengurusan UniSZA, turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM2,500 kepada Haslina sebagai tanda simpati dan sokongan moral. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan