MIRI, 5 Nov: Usaha berterusan dalam pengumpulan, pemuliharaan dan penyebaran maklumat bagi memastikan kesinambungan warisan tradisional dan budaya Sarawak harus dikembangkan dengan lebih jauh sehingga ke peringkat antarabangsa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus menjelaskan pendekatan yang digunakan perlu mengikut peredaran semasa seperti media sosial dan Kecerdasan Buatan (AI) bagi memperkenalkan kekayaan budaya, seni kreatif dan peninggalan sejarah kepada dunia.
“Pendekatan yang digunakan perlu mengikut peredaran semasa dengan media sosial dan teknik AI. Jika tarian tradisional dapat dipentaskan ke persada antarabangsa seperti teater muzikal Upin dan Ipin, Festival Sarawakiana tidak mustahil untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa seperti itu.
“Jadikan Festival Sarawakiana sebagai platform yang hebat untuk memperkenalkan kepada dunia kekayaan budaya, seni kreatif dan peninggalan sejarah untuk tujuan penyelidikan, pembangunan, pengekalan dan pemantapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyempurnaan Festival Sarawakiana 2023 di Pustaka Negeri Sarawak Miri pada Sabtu.
Oleh itu, beliau menyeru kepada semua pihak terutama kepada pengamal warisan dan budaya Sarawak untuk memberi kerjasama menyebarkannya dengan meluas agar ia tidak hilang ditelan zaman dalam arus pemodenan.
“Saya percaya dengan segala inisiatif bagi memelihara dan menyebarluaskan koleksi kandungan tempatan kita iaitu Sarawakiana seperti Festival Sarawakiana dan platform media sosial serta portal Sarawakiana, kita mampu mengangkat usaha kita ini ke peringkat global.
“Saya ingin menyeru kepada semua agar kita sama-sama memelihara warisan Sarawak dan tidak akan berhenti setakat pameran di sini sahaja,” jelasnya lagi.
Beliau yakin sekiranya usaha tersebut diteruskan, ia bukan sahaja memperkayakan budaya komuniti tempatan tetapi juga mencipta lebih banyak peluang aktiviti ekonomi Sarawak di pasaran dalam dan luar negara dengan menyumbang kepada pengwujudan perniagaan, keusahawanan dan pekerjaan baharu kepada masyarakat.
Bertemakan Warisan Tekstil Sarawak, festival ini diadakan selama empat hari dari 2 sehingga 5 November menampilkan pelbagai elemen berkaitan warisan tekstil tradisional pelbagai kaum di Sarawak dalam aspek kepentingan budaya, teknik tekstil tradisional, reka bentuk dan corak, tradisi masyarakat, pemuliharaan dan pemeliharaan, peluang ekonomi dan pelancongan, inovasi dan sebagainya. – TVS