KUALA KANGSAR, 5 Nov: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini menzahirkan rasa pilu terhadap penderitaan rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.
Sultan Nazrin menzahirkan kebimbangan dunia yang kini sedang “sakit” berkemungkinan bertambah tenat jika krisis persaingan dan pergolakan dibiarkan terus berlaku, tetapi keganasan dan malapetaka kemanusiaan gagal dibendung.
“Amat memilukan hati melihat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat bumi Palestin akibat perbuatan zalim Rejim Zionis Israel yang kita tidak terfikir, tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia,” titah baginda.
Titah Sultan Nazrin, penderitaan yang dialami oleh insan-insan tidak berdosa di bumi Palestin mengembalikan ingatan kepada amaran yang diungkapkan oleh tentera Athen kepada penduduk Pulau Melos semasa Perang Peloponnesia antara Athens dengan Sparta pada tahun 416 sebelum Masihi.
“The strong do what they can and the weak suffer what they must. Penduduk Pulau Melos yang memilih sifat berkecuali dan tidak mahu menyerah diri telah dikepung, semua penduduk lelaki dibunuh, dan semua wanita dan kanak-kanak diperhamba,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.
Baginda bertitah sikap mementingkan diri dan merasakan diri sendiri sahaja yang betul akan membawa kepada kemusnahan, malahan membenci dan bermusuhan bagaikan pilihan kalangan yang memiliki kuasa, yang kelihatan lebih cenderung untuk bersaing daripada bekerjasama.
“Akibatnya usaha-usaha membangun insan, menghapuskan kemiskinan, mengatasi kekurangan makanan dan membasmi kejahilan serta buta huruf menjadi bertambah sukar.
“Dunia juga sedang menghadapi masalah bekalan perkhidmatan dan barangan, terutama bahan makanan yang semakin sukar diperoleh menyebabkan kos sara hidup terus meningkat mengakibatkan rakyat di serata dunia menanggung kesusahan,” titah baginda yang turut menyatakan dunia yang “tenat” dilanda krisis perlu diubati dengan suara perdamaian dan bermuafakat.
“Bermesyuarah lebih baik daripada bertelagah dan bermaaf-maafan lebih baik daripada berdendam. Insaflah, kedamaian lebih baik daripada peperangan! Insaflah, akar kemanusiaan hanya tumbuh dalam suasana persahabatan dan kerjasama! Insaflah, kedamaian akan tinggal dalam impian jika tidak ada rasa muhibah dalam hati insan!” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah perdamaian akan wujud apabila manusia memilih untuk memahami antara satu sama lain.
Titah baginda, suara kebenaran di tengah-tengah arus yang memilih untuk berkonflik, dan usaha perdamaian dalam dunia yang memilih untuk berperang memerlukan kekuatan, ketabahan dan keberanian luar biasa, mengatasi kekuatan, ketabahan dan keberanian seorang soldadu di medan perang. – TVS