KUCHING, 5 Nov: Raya Khas, pengedar kereta import terkemuka di Sarawak, mengumumkan pelbagai inisiatif dan promosi sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-35.
Program ‘Customer Day Out’ yang diadakan pada Sabtu adalah untuk menghargai para pelanggan yang memberikan sokongan berterusan dan kepercayaan yang mendalam kepada produk serta perkhidmatan mereka.
Koordinator Raya Khas, Yusuf Roy Fitri yang ditemui memaklumkan mereka turut menawarkan program khas yang diberi nama ‘i-Direct by Raya Khas’ yang merupakan satu alternatif bagi mengurangkan risiko pelanggan ditipu tanpa menggunakan perkhidmatan orang tengah.
“Kami melancarkam satu progrm pada tahun lepas, pada Oktober iaitu ‘i-Direct by Raya Khas. Ia adalah satu program ‘custom order’ pertama di Sarawak dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan,” katanya semasa ditemui pada ‘Customer Day Out’ di Raya Khas, Jalan Sungai Apong di sini pada Sabtu.
Menurutnya, pelanggan berupaya memilik kereta impian dengan lebih cepat, telus dan selamat tanpa melalui orang tengah dengan hampir lebih 50 hingga 60 kenderaan telah diserahkan kepada pelanggan.
Jelasnya, Kempen ‘Year End Sales’ (YES) juga turut sedang berlangsung selama lapan minggu bermula 15 Oktober sehingga 15 Disember ini. Pelanggan akan berpeluang memiliki skuter elektrik percuma dan tawaran perkhidmatan yang eksklusif dari Raya Khas.
“Kami juga menawarkan satu pakej yang menarik kepada pelanggan. Mereka boleh mendapat jaminan sehingga tujuh tahun dengan kerjasama EZcare Warranty,” ujarnya.
Raya Khas memenangi Anugerah ‘Top Contributor Award’ 2022 daripada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA Sarawak) pada September 2023. – TVS