JAKARTA, 5 Nov: Ratusan ribu orang berkumpul di ibu negara Indonesia bertempat di dataran Monumen Nasional (Monas) bagi menunjukkan solidariti mereka terhadap perjuangan rakyat Palestin di tengah-tengah konflik berterusan di Gaza.
Mereka datang dari pelbagai kaum dan agama menunjukkan suara yang sama mengutuk jenayah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Perhimpunan anjuran pelbagai kumpulan dalam Perikatan Rakyat Indonesia untuk Palestin itu merupakan perhimpunan awam terbesar di Indonesia sejak tercetusnya keganasan.
Berpakaian jubah putih dan selendang Palestin hitam-putih, mereka mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan ‘Bebaskan Palestin’, menuntut tentera Israel menamatkan kepungan dan serangan maut ke atas Gaza.
Beberapa menteri dan ahli politik Indonesia termasuk Menteri Agama Yaqut Cholil Qoumas, Menteri Luar Retno Marsudi, bekas gabenor Jakarta dan bakal calon Presiden Anies Baswedan dan Speaker Parlimen Puan Maharani hadir.
Menurut Yaqut, membela kemanusiaan adalah ajaran semua agama, sebab itu rakyat Indonesia datang ke sini untuk bersatu dan tidak akan berdiam diri melihat manusia diinjak-injak.
“Kedudukan Indonesia jelas dapat dilihat di sini, semua kaum dan agama menunjukkan solidariti mereka dan akan berdiri bersama Palestin kerana membela rakyat Palestin adalah membela kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Indonesia konsisten dalam sikap menyokong Palestin dengan menghantar bantuan ke Semenanjung Gaza dan melakukan usaha lain untuk menghentikan perang di sana. -TVS