KUCHING, 5 Nov: Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak Lima dinobatkan ‘Raja Sungai’ dua tahun berturut- berturut selepas menjuarai kategori Bidar 30 Pekayuh Lelaki sempena temasya Sarawak Regatta 2023 yang melabuhkan tirai di Tebingan Kuching hari ini.
Kejayaan dengan catatan masa 7.04 saat itu membolehkan pasukan berkenaan membawa pulang Piala TYT (Yang di-Pertua Negeri) serta wang tunai berjumlah RM30,000, selain piala pusingan.
Puteri Dang Balai Yayasan Sarawak Lapan turut cemerlang selepas merangkul tempat kedua dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000 dan piala iringan.
Tempat ketiga milik Pasukan UDAK18 yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan piala iringan.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan.
Beliau diiringi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di majlis itu. – TVS