KUALA LUMPUR, 5 Nov: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyarankan kerajaan menggesa negara-negara Arab dan negara Islam menolak sebarang usaha menormalisasi hubungan dengan Israel dan terus memperkasa sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Ia antara 10 ketetapan dipersetujui dalam Seminar Konflik Palestin-Israel semalam, susulan perkembangan terkini di Semenanjung Gaza, yang menyaksikan angka korban semakin meningkat, pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel dan sekatan terhadap keperluan asas.
“PUM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan Israel yang sentiasa melanggar undang-undang antarabangsa menyebabkan kematian dan kecederaan orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak di Gaza,” menurut PUM dalam kenyataan malam tadi.
PUM turut menggesa kerajaan untuk memainkan peranan utama dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya dapat menggerakkan pertubuhan itu secara proaktif ke arah penyelesaian konflik di Palestin.
Persatuan itu turut mengambil ketetapan menuntut kerajaan Israel dan negara berkepentingan memberi kebenaran sepenuhnya kepada pihak luar menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Gaza di Palestin.
“PUM turut mendesak Israel supaya menghentikan serangan tidak bertamadun terhadap penduduk Gaza dan melakukan gencatan senjata dengan kadar segera supaya tindakan ke arah perdamaian dapat diambil,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, PUM turut menawarkan kerjasama dalam meningkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang konflik Israel-Palestin dan keperluan penyelesaian secara aman. – TVS