Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hasbi (tiga kiri) menyerahkan kotak prihatin kepada salah seorang penerima yang layak. Foto: TVS

Pekerja sendiri dan suri rumah disaran dapatkan perlindungan sosial melalui Perkeso – Hasbi

LIMBANG, 5 Nov: Individu bekerja sendiri di sektor informal dan golongan suri rumah disaran mendapatkan perlindungan sosial yang disediakan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, individu yang bekerja sendiri perlu mengambil peluang kerajaan dalam Belanjawan Madani 2024 di bawah teras inisiatif perlindungan sosial negara yang telah memberikan peruntukan khas SKSPS bagi caruman pelan dua berjumlah RM232.80 dan 80 peratus daripada jumlah tersebut dibiayai oleh kerajaan.

Menurutnya, untuk perlindungan bencana kerja bagi tempoh setahun, mereka hanya perlu membayar caruman RM46.60 dan peruntukan ini adalah sehingga 31 Disember tahun ini.

“Selain itu, bagi golongan wanita yang mempunyai tanggungjawab menguruskan rumah tangga, tidak kira status, yang berumur sehingga 55 tahun, saya sangat menggalakkan puan-puan mendaftar dan mencarum di bawah SKSSR.

“Para suami juga boleh berbuat demikian bagi memberikan perlindungan ini kepada isteri dengan caruman RM120 setahun, suri rumah berinsurans ini akan mendapat manfaat perlindungan bencana domestik dan keilatan,” katanya pada Majlis Penangguhan Program Seranta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) 2023 Peringkat Perkeso Limbang di Dewan Bunga Raya hari ini.

Ahli Parlimen Limbang itu turut memuji usaha Perkeso Limbang atas penganjuran program yang memberi manfaat kepada masyarakat di Limbang khususnya pemegang taruh Perkeso iaitu majikan, orang bekerja sendiri dan suri rumah.

Program itu diadakan untuk menerangkan fungsi dan peranan Perkeso dalam memberi perlindungan keselamatan sosial kepada golongan orang bekerja sendiri dan suri rumah, masing-masing di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.

Selain dua akta ini, dua lagi akta yang ditadbir oleh Perkeso adalah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan Akta Sistem Insuran Pekerjaan 2017.

Turut hadir Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal dan Pengurus Perkeso Cawangan Limbang, Siti Saharah Tair. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan