KUCHING, 4 Nov: Terokai biodiversiti di Sarawak untuk tujuan kesihatan dan perubatan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin.
Katanya, penerokaan biodiversiti di Sarawak amat penting dalam menghasilkan produk hiliran.
Menurut beliau, penemuan tumbuhan baharu menjadi semakin penting sebagai sumber biodiversiti yang berupaya untuk dikomersialkan dan digunakan dalam memenuhi pelbagai keperluan seperti ubat-ubatan dan makanan tambahan berasaskan bahan organik.
“Saya amat menggalakkan generasi muda hari ini mengeluarkan produk berasaskan produk kesihatan. Terokai khazanah alam semula jadi dan biodiversiti di Sarawak.
“Terdapat banyak tumbuhan yang mempunyai khasiatnya yang tersendiri seperti pokok bintangor yang dikatakan boleh merawat penyakit AIDS kerana terdapat kompoun pada pokok bintangor yang boleh merawat penyakit tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Produk Green Vivo di The Hills Kuching, hari ini.
Tambah Wilfred, seiring dengan perkembangan teknologi dan dunia semakin moden, penghasilan produk kesihatan berasaskan tanaman sudah pasti mampu menjana pendapatan negeri.
“Sarawak semakin maju.Kita mahu pastikan bahawa Sarawak juga boleh membangun dan menghasilkan produk-produk kesihatan tempatan yang berkualiti.
“Sekiranya kita konsisten dan mempunyai keazaman yang tinggi kita boleh melahirkan bangsa yang maju menjelang 2030,” ujarnya. -TVS