BINTULU, 4 Nov: Isteri calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dayang Loha Awang Sahari meluahkan rasa syukur kepada suaminya Iskandar Turkee yang meraih kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Beliau mengakui terkejut namun berjanji akan memberikan sokongan yang padu kepada suaminya yang akan berkhidmat untuk rakyat Jepak.
“Saya sebagai isteri meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga dan sentiasa mendoakan beliau dalam melakukan tugas-tugas baharu yang baik sebagai wakil rakyat.
“Saya masih lagi terkejut (selepas pengumuman undi rasmi) dan saya akan terus menyokong beliau hingga tamat penggalnya,” katanya lagi.
Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Jepak, Noriha Ali, menyifatkan kemenangan Iskandar Turkee dengan majoriti yang besar adalah suatu yang telah dijangkakan mereka.
Ini kerana menurutnya, pertambahan pengundi automatik menjadi faktor utama kejayaan besar yang dikecapi GPS.
“Apabila berlakunya pengundi secara automatik di DUN Jepak, kami memang menjangkakannya serta penglibatan golongan belia dalam pesta demokrasi ini.
“Ini jelas menunjukkan keyakinan golongan belia kepada Iskandar Turkee untuk membawa agenda pembangunan golongan belia di kawasan ini,” katanya lagi.
Noriha turut percaya dengan kepimpinan Iskandar Turkee sebagai ADUN Jepak baharu untuk tidak meminggirkan kaum wanita dan tidak ketinggalan dalam mana-mana penganjuran program berkaitan dengan mereka.
Iskandar Turkee berjaya mempertahankan kerusi DUN Jepak dengan majoriti 8,784 undi. – TVS