BINTULU, 4 Nov: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dengan meraih sebanyak 9,638 undi menyifatkan beliau telah lulus peperiksaan.
Menurutnya, tanpa sokongan parti komponen GPS sejak hari pertama lagi, beliau tidak mungkin akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak.
“Saya ingin berterima kasih kepada pengundi DUN Jepak kerana memberi kepercayaan kepada saya dan tidak lupa juga dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan berjaya dikecapi.
“Peperiksaan kini sudah lulus dan saya pastikan perkhidmatan diberikan kepada penduduk Jepak akan saya berikan dengan terbaik kepada semua rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman rasmi undi PRK DUN Jepak di Dewan Suarah Bintulu di sini, sebentar tadi.
Turut hadir ialah Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Pengarah Pilihan Raya GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Awang Tengah juga tidak menyangka kerana berjaya meraih kemenangan GPS pada saluran-saluran yang pernah jatuh di tangan parti lawan.
“Walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah iaitu 48 peratus tetapi apa yang membanggakan adalah kita menang pada semua daerah mengundi, malahan kita menang di setiap saluran.
“Ini menunjukkan pengundi yakin dan percaya akan GPS di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam membawa kesejahteraan negeri Sarawak,” katanya.
Iskandar Turkee berjaya mempertahankan kerusi DUN Jepak dengan majoriti 8,784 undi. – TVS