KUCHING, 4 Nov: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sarawak menghadapi kekurangan tenaga kerja dan doktor veterinar di negeri ini, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, Sarawak memerlukan lebih ramai lagi doktor veterinar dan menggalakkan pembukaan Fakulti Perubatan Veterinar sebagai salah satu usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan industri berkenaan.
“Sarawak kini mempunyai kurang daripada 100 orang doktor haiwan, kita tiada pilihan selain membenarkan doktor veterinar Indonesia yang mempunyai lulusan universiti diiktiraf oleh Majlis Veterinar Malaysia untuk bekerja di sektor swasta.
“Kita memerlukan 200 orang doktor veterinar menjelang tahun 2030 dan 1,000 orang menjelang tahun 2040,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Majlis Makan Malam Gala Persekutuan Persatuan Veterinar Asia (FAVA) ke-22 dan Kongres Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA) ke-33 bagi tahun 2023, di sini, malam ini.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, eksport haiwan ternakan dan hasil produk ternakan Sarawak telah mencapai sebanyak 190 juta pada tahun ini dan menyasarkan untuk menjadi pengeksport bersih makanan menjelang 2030 dan unjuran nilai pengeluaran sebanyak RM4 bilion.
“Sarawak telah diluluskan dan diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH) sebagai bebas penyakit kaki dan mulut (FMD) tanpa vaksinasi dan melepasi audit menyeluruh pada Julai tahun ini.
“Jadi, kita mengambil peluang ini untuk memanfaatkan status bebas FMD yang melayakkan Sarawak mengeksport haiwan ternakan dan hasil ternakan,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, Agensi Makanan Singapura (SFA) juga mengiktiraf kawasan penternakan babi (PFA) di Simunjan sebagai bebas penyakit demam babi Afrika (ASF) secara konsep kepungan (compartmentalization). – TVS