JEPAK, 4 Nov: Walaupun pergerakannya terbatas, namun tidak menghalang seorang warga emas, Dayang Norsaini Awang, 75, untuk keluar menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Beliau yang hadir dengan berkerusi roda di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak ditemani anak dan cucunya di sini hari ini.
Menurutnya, dirinya tidak pernah terlepas membuang undi meskipun sudah tidak dapat lagi mengingati berapa kali sudah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Tiap-tiap kali pilihan raya saya pasti turun mengundi. Hari ini turun mengundi dengan anak dengan cucu semua sekali, memang sangat suka turun mengundi.
“Setiap kali hari mengundi pasti saya turun awal sebab awal turun maka awal boleh balik,” katanya ketika ditemui TVS di sini.
Sementara, salah seorang lagi pengundi yang ditemui, Mahli Drum, 58, pula, mendedahkan diinya mengalami masalah kesihatan namun ia tidak menjadi alasan buatnya tidak turun mengundi pada kali ini.
“Saya turun mengundi kerana ini tanggungjawab sebagai rakyat. Lagipun kalau bukan hari ini, kita tiada peluang untuk memilih pemimpin.
“Saya harap yang terpilih nanti akan dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Pusat pengundian SK Kampung Jepak merekodkan 5,446 pengundi yang layak mengundi dengan ia merupakan jumlah terbesar berbanding pusat pengundian yang lain.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee dengan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) Chieng Lea Phing. -TVS