BINTULU, 4 Nov: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menyediakan kemudahan dua van untuk membawa pengundi terutamanya warga emas untuk ke pusat mengundi.
Penyelia Pusat Mengundi SMK Baru, Bintulu, Mohammad Faizul berkata kemudahan itu bertujuan untuk memudahkan perjalanan pengundi dalam kalangan warga emas menunaikan tanggungjawab mereka berikutan struktur pusat mengundi di sekolah di sini adalah berbukit.
“Bagi pihak SPR, kami telah menyediakan dua buah van untuk memudahkan pengundi turun dan naik semasa mengundi berikutan sekolah ini berbukit.
“Sudah tentu golongan warga emas adalah golongan keutamaan kami supaya mereka boleh mengundi dengan selamat,” beliau berkata demikian ketika ditemui TVS di SMK Baru, Bintulu hari ini.
Usaha tersebut mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Sibuti Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming yang juga membantu petugas SPR membantu dan memapah pengundi untuk masuk dan keluar daripada kenderaan.
Turut kelihatan juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA) Dato Haidar Khan Asghar Khan yang membuang undi di situ kira-kira 11.05 pagi. – TVS