JAKARTA, 4 Nov: Kerajaan Indonesia hari ini menghantar bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin melalui Mesir.
Bantuan peringkat pertama sebanyak 51.5 tan itu dibawa oleh tiga pesawat ke lapangan terbang antarabangsa El-Arish yang kemudiannya akan dibawa dari Mesir ke Semenanjung Gaza.
Melalui Pangkalan Tentera Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma, bantuan berupa makanan, peralatan perubatan, keperluan asas dan barangan logistik lain dihantar dan diserahkan secara simbolik kepada Duta Besar Palestin di Jakarta, Zuhair Al Shun.
Menurut Presiden Indonesia Joko Widodo yang menyerahkan bantuan itu, inisiatif itu disesuaikan dengan keperluan penduduk Palestin di sana selepas berkomunikasi dengan pelbagai pihak.
“Bantuan yang kita hantar telah disesuaikan dengan keperluan di Semenanjung Gaza, ini adalah wujud keprihatinan bangsa Indonesia terhadap tragedi kemanusiaan di sana yang tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau turut menyebut bantuan terbabit bukan sahaja daripada kerajaan tetapi juga dari rakyat Indonesia, syarikat, dan juga pelbagai elemen lain.
Sambil menegaskan sikap Indonesia, bahawa akan bersama dengan perjuangan rakyat Palestin, Jokowi turut menyebut lebih banyak bantuan akan disalurkan selepas ini.
Dalam kesempatan sama, Jokowi kembali menggesa tragedi kemanusiaan yang berlaku di sana dihentikan segera. -TVS