MIRI, 4 Nov: Perkhemahan sebagai aktiviti luar kelas di bawah kegiatan kokurikulum perlu dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin dengan matlamat dan objektif yang jelas supaya dapat melatih fizikal dan mental anak-anak muda.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menyatakan ini juga dapat membentuk disiplin para pelajar serta memberi pendedahan kepada mereka cara untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan.
“Setiap kegiatan kokurikulum yang dilaksanakan juga hendaklah dirancang dengan mempunyai matlamat, objektif, kaedah pelaksanaan dan kurikulum kegiatan serta skema penilaian yang pragmatis dan progresif.
“Begitu juga dengan perkhemahan yang merupakan aktiviti luar kelas bertujuan dalam melatih fizikal dan mental anak-anak muda.
“Perkhemahan juga dapat membentuk disiplin para pelajar serta memberi pendedahan kepada mereka cara untuk menghadapi cabaran dalam kehidupan pada suatu hari kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membaca teks ucapan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Majlis Perkhemahan Bersepadu Badan Beruniform Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang (KTDTHB) hari ini.
Tambahnya, kegiatan perkhemahan sebegini dapat mencapai matlamat setiap sekolah di Sarawak melahirkan generasi muda yang bercita-cita tinggi dan mempunyai jati diri.
“Oleh itu, melalui kegiatan ini juga kita dapat membentuk insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berwawasan tinggi serta cemerlang dari segi rohani, sosial dan jasmani.
“Inilah matlamat yang harus dicapai oleh setiap sekolah di Sarawak agar dapat menjadikan Sarawak sebagai sebuah negeri yang melahirkan anak-anak muda yang bercita-cita tinggi dan mempunyai jati diri,” jelasnya.
Sejajar dengan Dasar Pendidikan Negara, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menekankan kepentingan kokurikulum dengan menguatkuasakan pelbagai akta memastikan setiap institusi pendidikan wajib melaksanakan kegiatan kokurikulum dalam kalangan pelajar termasuk kegiatan Badan Beruniform, Kelab dan Persatuan dan juga Sukan dan Permainan.
Kegiatan kokurikulum juga menjadi langkah utama dalam membentuk generasi yang proaktif, responsif, inovatif dan kreatif selain memberikan murid peluang untuk menambah, mengukuh dan mengamalkan kemahiran dan nilai-nilai yang dipelajari di bilik darjah. – TVS