SIBU, 4 Nov: Semua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di negara ini termasuk 38 balai di Sarawak telah bersedia menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) akhir tahun.
Ketua Pengarah Jabatam Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato Sri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, terdapat sebanyak 330 BBP di seluruh negara.
“Kesemuanya telah bersedia untuk melaksanakan tindakan pada musim tengkujuh yang bermula November ini. Seramai 13,000 anggota bomba telah menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
“Kami juga mempunyai 2,100 anggota bomba bantuan dan 13,500 bomba sukarela yang merangkumi lebih 29,000 anggota di seluruh negara,” katanya pada sidang media semasa lawatannya di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti aset yang diperlukan untuk kerja menyelamat pada musim MTL ini.
Mengenai permohonan pembinaan balai bomba di Julau, katanya, tanah yang sesuai perlu dikenal pasti dan diluluskan pihak berkuasa berkenaan terlebih dahulu sebelum boleh dibina.
“Kita perlu selesaikan isu tanah dahulu. Apabila pemerolehan tapak tanah siap, Ahli Parlimen Julau perlu membawanya ke Parlimen sebelum ia boleh dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RM Ke-12),” katanya.
Abdul Wahab dijangka melawat balai-balai bomba di Bintulu dan kemudian menyertai perasmian BBP Asajaya yang baharu pada Isnin.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee dan Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Penguasa Bomba Kanan (PgKB 1) Andy Alie. -TVS