Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Calon GPS Iskandar Turkee menyantuni penduduk PPR Bandaria Park di sini. Foto: Muqri Aziz (TVS)

“Saya merayu pengundi DUN Jepak turun mengundi esok,” – Iskandar

BINTULU, 3 Nov: Berbaki kurang beberapa jam sahaja sebelum tempoh berkempen tamat, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee merayu kepada 22,731 pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menjalankan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada esok, 4 Nov.

Iskandar juga memohon agar para pengundi tidak melengahkan masa serta mengingatkan agar membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat pengundian.

“Saya mohon kepada pengundi di DUN Jepak baik di kawasan bandar mahupun luar bandar untuk turun beramai-ramai mengundi pada esok hari di pusat-pusat mengundi anda.

“Pastikan juga supaya kemenangan PRK DUN Jepak ini akan memihak kepada GPS dengan peratusan majoriti lebih tinggi daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Program Ziarah PPR Bandaria Park di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, ADUN Beting Maro Razaili Gapor dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.

Dalam pada itu, Iskandar yang disoal pemberita berhubung perancangannya sekiranya berjaya memenangi PRK itu, beliau meyakinkan bahawa akan menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam tempoh dua minggu sahaja bersama agensi berwajib.

“Saya akan semak dan berjumpa kepada pihak berkaitan dan kita akan membuat pemfailan data bagi setiap kawasan untuk meneliti setiap isu yang timbul yang mana perlu disegerakan dan mana yang tidak,” ujarnya.

PRK DUN Jepak menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Iskandar Turkee mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).

SPR dalam satu kenyataan pada semalam memberitahu keputusan rasmi bagi pilihan raya itu dijangka akan diumumkan pada 9 malam esok. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan