BINTULU, 3 Nov: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin bahawa peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak melebihi 65 peratus serta mengatasi sasaran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengarah Pilihan Raya GPS, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengakui peratusan keluar mengundi itu amat penting sebagai kayu ukur kemenangan komponen parti itu.
Sehubungan itu, beliau tegas mengarahkan jentera GPS untuk merancakkan usaha mengajak para pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada esok, 4 Nov.
“Ini adalah penting sebab kemenangan GPS ditentukan dengan turunnya pengundi kita yang akan turun pada esok.
“Ini adalah hak dan kuasa yang diberikan kepada setiap rakyat yang menjadi pengundi daripada 18 tahun ke atas. Untuk menjalankan tanggungjawab rakyat, untuk menentukan wakil rakyat, inilah adalah sistem demokrasi yang kita ada.
“Jadi, jangan sia-siakan tanggungjawab kita ini dan saya berharap mereka akan ramai-ramai turun mengundi dan janganlah turun mengundi itu pada masa-masa yang lewat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Program Ziarah PPR Bandaria Park di sini hari ini.
Turut hadir calon GPS Iskandar Turkee, Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus, ADUN Beting Maro Razaili Gapor dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
Dalam pada itu, Awang Tengah yang disoal pemberita berkaitan isu semasa yang dibangkitkan rakyat di sini, Timbalan Premier Sarawak itu menyatakan beliau sendiri akan menghubungi pihak berwajib untuk menangani isu yang membelenggu mereka.
“Mengenai hasrat penduduk yang mahu menjadikan rumah mereka menjadi tetap, saya akan memanggil dan berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mencari solusi bagaimana mereka boleh membeli rumah terus tempat mereka diami.
“Manakala isu perpagaran di SK Segan, saya akan panggil Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak untuk berbincang kenapa pembinaan sekolah berkenaan tidak mengambil situasi sebenar memandangkan PPR ini berdekatan dengan sekolah berkenaan,” ujar beliau.
Beliau juga memberi jaminan untuk menyelesaikan isu permasalahan air di kawasan berkenaan dan akan berbincang dengan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dalam masa terdekat.
Untuk rekod, semalam SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi PRK Jepak adalah mencapai 65 peratus.
Ia setelah mengambil kira jangkaan peratusan itu adalah lebih tinggi berbanding 63 peratus yang direkodkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2021 lalu. – TVS