BINTULU, 3 Nov: Seramai 22,731 pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, esok (4 Nov).
Kenyataan SPR hari ini memaklumkan seramai 446 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian ini nanti.
“Bagi PRK DUN ini; sebanyak 14 Pusat Mengundi dan 45 Saluran akan dibuka untuk tujuan pengundian di mana seramai 22,731 orang bakal mengundi di PRK DUN ini.
“Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak,” menurut kenyataan.
Dalam kenyataan itu juga Setiausaha SPR Dato Indera Ikmalrudin Ishak bagaimanapun menyatakan bahawa pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu Pusat Mengundi diwartakan.
SPR juga ingin mengingatkan para majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar 3 sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada Sabtu ini sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
SPR turut mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, X (Twitter), Instagram dan lain-lain sebaik sahaja tamat pada pukul 11.59 malam ini.
“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” menurutnya lagi.
Pengundi dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat awal maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau
melalui aplikasi MySPR Semak. – TVS