Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama pelajar semasa Majlis Penyerahan dan Perasmian MRSM Bintulu. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Jepak dalam radar pembangunan Kerajaan Persekutuan

BINTULU, 3 Nov: Kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bintulu yang tersergam megah di Km14, Lebuh Raya Pan Borneo dekat sini menjadi satu lagi mercu tanda baharu pembangunan yang dibawa Kerajaan Persekutuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Kampus MRSM Bintulu ini melibatkan kos pembinaan RM122 juta dan bakal beroperasi mulai Mac 2024 itu telah dirasmikan semalam oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata kerjasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kerajaan Sarawak dan Petronas itu adalah bagi memacu pembangunan pendidikan di kawasan itu.

Sementara itu, KKDW turut memperuntukkan RM10 juta bagi projek pembinaan parit monsun dari Kampung Warisan Jepak Ke Sungai Batang Kemena.

Projek ini bertujuan untuk mengatasi masalah banjir yang sering dihadapi penduduk di kampung itu yang merupakan antara kawasan penempatan utama di DUN Jepak.

Dalam pada itu, siapnya Lebuh Raya Pan Borneo bahagian Sarawak yang juga melalui DUN Jepak turut membawa limpahan kemudahan kepada penduduk kawasan subbandar dan luar bandar ini.

Projek yang menelan kos lebih RM16 bilion itu bukan hanya meningkatkan lagi mobiliti penduduk yang berulang-alik di kawasan itu, malah turut merancakkan aktiviti sosioekonomi mereka.

Jepak turut berada dalam laluan bagi penaiktarafan Internet jalur lebar di Sarawak menerusi kerjasama agensi Kerajaan Persekutuan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi negeri, Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Kerjasama ini bertujuan untuk mempercepatkan lagi proses pelaksanaan liputan Internet jalur lebar di Sarawak menerusi gabungan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) MCMC bersama-sama inisiatif SMA.

Inisiatif SMA yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), melibatkan pembinaan menara telekomunikasi luar bandar pintar SMA (SMART).

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini telah mengumumkan Sarawak menerima peruntukan tertinggi berjumlah RM4.46 bilion di bawah projek JENDELA ini.

Dalam pada itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.89 bilion bagi membangunkan infrastruktur telekomunikasi dan ekonomi digital di negeri ini.

Satu lagi usaha ke arah meningkatkan ekonomi penduduk setempat adalah penanaman kelapa sawit sebagai usaha tani utama yang dijalankan di bahagian luar bandar DUN Jepak dan Kerajaan Persekutuan telah mengambil beberapa inisiatif untuk memajukan usaha pekebun kecil sawit di kawasan itu.

Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menjalankan program Pemantapan Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MSPO) untuk pekebun kecil di DUN Jepak.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang menerajui kementerian itu telah merasmikan program tersebut yang menyediakan insentif kewangan bagi membolehkan pekebun kecil ini memperoleh pensijilan MSPO.

Dengan adanya sijil MSPO ini, hasil sawit yang dituai pekebun kecil ini akan diterima sebagai mematuhi prinsip-prinsip kemampanan yang diterima di peringkat antarabangsa.

MPOB juga telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) bagi menyatukan pekebun kecil sawit untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan menjual buah tandan segar sawit mereka secara berkelompok terus ke kilang.

Menurut Fadillah kerajaan telah menyediakan bantuan kepada KPSM bagi pembinaan pusat timbang bagi jualan berkelompok buah tandan segar yang diusahakan oleh pekebun kecil.

Bagi menggalakkan penanaman semula pokok sawit tua yang melepasi 25 tahun, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM100 juta dalam Belanjawan 2024 sebagai insentif kepada pekebun kecil.

“Bantuan ini disediakan dalam bentuk geran dan pinjaman yang akan memberi manfaat kepada pekebun kecil. Saya menggesa pekebun kecil supaya mengambil manfaat bantuan yang disediakan ini,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan