ISKANDAR PUTERI, 3 Nov: Penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pentas final Piala Malaysia 2023 dengan berpesta gol menewaskan Perak FC 8-1 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, pada Khamis.
JDT mara ke final dengan kemenangan agregat 12-2 selepas menang 4-1 pada aksi sparuh akhir pertama di Ipoh, 19 Okt lalu.
Lawan JDT di pentas final akan ditentukan apabila Terengganu bertemu Kuala Lumpur FC pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, malam ini.
Terengganu mempunyai kelebihan jaringan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pada 21 Okt lalu.
Pada aksi malam tadi, skuad Harimau Selatan mencipta jaringan seawal minit ke-11 apabila pemain sayap muda, Arif Aiman Mohd Hanapi merembat masuk bola selepas bijak memperdaya kawalan pertahanan pelawat.
Memasuki minit ke-27, pemain sensasi dari Brazil, Bergson Gustavo Silveira Da Silva menggandakan jaringan sebelum Heberty Fernandes De Andrade menambah derita skuad Bos Gaurus dengan gol ketiga empat minit kemudian.
Babak kedua menyaksikan anak buah Yusri Che Lah terus dihukum selepas penyerang sensasi kelahiran Argentina, Fernando Martin Forestieri meledak gawang selepas menampan kemas hantaran Arif Aiman pada minit ke-52.
Bergson Da Silva sekali lagi membuat kejutan apabila mudah merobek gawang pelawat pada minit ke-59 sebaik menerima hantaran lintang Juan Muniz.
Pasukan kendalian Esteban Solari terus melakukan serangan dan tidak memberikan kesempatan untuk Perak FC mengintai peluang sehingga terus dihukum dengan jaringan keenam Muhammad Syafiq Ahmad pada minit ke-61.
Kesilapan penyerang Perak FC, Luka Milunovic yang menanduk bola untuk diselamatkan penjaga gol Muhammad Farhan Abdul Majid dalam kotak penalti tidak berjaya apabila mudah ditampan Muhammad Syafiq dan ditolak masuk ke dalam gawang pada minit ke-77.
Percubaan pertahanan Bos Gaurus, Muhammad Aiman Khairul Yusni untuk mencipta jaringan pada minit ke-86 juga tidak kesampaian kerana tendangannya tersasar dari gawang tuan rumah, sebelum Heberty Fernandes menjaringkan gol kelapan pada masa tambahan.
Berbaki beberapa saat sebelum tamat perlawanan, pemain sayap Perak FC, Muhammad Firdaus Ahmad Fuad berjaya menghadiahkan gol sagu hati buat pasukannya dan keputusan kekal 8-1. – TVS