KUCHING, 2 Nov: Pemberian wang tunai kepada golongan B40 lebih baik berbanding pemberian subsidi kerana mereka lebih mengetahui akan keperluan dan kehendak masing-masing.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, kerajaan membelanjakan sebanyak RM2 bilion untuk minyak masak manakala RM1 bilion untuk telur dan duit itu merupakan duit rakyat.
“Jangan subsidikan wang itu, sebaliknya melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah lebih baiknya kita memberikan wang itu kepada mereka.
“Sekurang-kurangnya mereka dapat dan jika menerusi subsidi itu, saya yang akan mendapatkannya,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan temubual terbitan TVS, Dialog TVS Transformasi Peruncitan pada Khamis.
Susulan kekurangan bekalan makanan, katanya, kerajaan harus bertanggungjawab dalam perkara tersebut.
Menyifatkan Malaysia sebagai negara yang paling tinggi mengamalkan subsidi di dunia seperti minyak dan tol, beliau berkata, subsidi yang digunakan itu seharusnya digunakan untuk pembangunan yang boleh memberikan manfaat kepada ekonomi dan rakyat.
Mengulas lanjut, Datuk Ameer berpendapat bahawa pihak kerajaan tidak mempunyai cara politik yang baik dalam menangani hal ini.
“Dengan kemarahan rakyat dalam harga barang yang melambung, kita harus mencari penyelesaian. Diibaratkan seperti kanser, jika ia terus merebak maka kita akan mati,” katanya lagi.
Untuk rekod, Oktober lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, subsidi dikeluarkan kerajaan untuk rakyat di seluruh negara termasuk elektrik, minyak dan makanan dijangka mencecah RM81 billion tahun ini. – TVS