KUCHING, 1 Nov: Keberadaan kapal-kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di Laut China Selatan dapat menghalang pencerobohan nelayan asing dan cubaan memasuki perairan negara.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Zin Azman Md Yunus berkata perairan Sarawak juga terdapat banyak pelantar minyak dan gas yang wajar dilindungi.
“Maritim, sebagai agensi penguat kuasa bertanggungjawab menunjukkan kita punya kekuatan supaya tiada usaha untuk menceroboh masuk ke perairan negara,” katanya pada sidang media sempena majlis makan malam bersama media di sini, malam ini.
Sehubungan itu, tahap keupayaan dan kesiapsiagaan Maritim diuji menerusi Eksesais Maritim Perkasa Timur yang bermula 28 Oktober di Kota Kinabalu dan berakhir di sini pada 4 November.
Eksesais ini dilaksanakan dengan misi menyediakan pegawai dan anggota Maritim Malaysia agar sentiasa bersedia menghadapi sebarang situasi ancaman maritim.
Ia juga dapat mempertingkatkan keupayaan khusus pelaksanaan evolusi di laut untuk anggota kapal, pesawat dan pasukan mencari dan menyelamat agensi ini.
“Eksesais ini bertujuan menunjukkan kemampuan Maritim di Sarawak dan Sabah, menunjukkan kita memiliki anggota yang mahir dalam mengendalikan kapal dan juga dalam tugas-tugas penguatkuasaan di laut,” jelasnya.
Tujuh kapal Maritim berpangkalan di Sarawak dan tujuh kapal berpangkalan di Sabah menyertai eksesais ini.
Maritim menerusi kenyataan sebelum ini berkata, seramai 652 orang pegawai dan anggota dengan kekuatan lebih 15 aset terdiri daripada kapal dan pesawat udara milik agensi ini terlibat sepanjang eksesais.
Diadakan dalam tiga fasa, eksesais ini bermula dengan fasa pertama iaitu Fasa Pelabuhan yang diadakan bermula pada 28 Oktober sehingga 29 Oktober.
Setelah melepasi fasa berkenaan, pegawai dan anggota yang terlibat dalam eksesais ini akan melaksanakan fasa kedua iaitu Fasa Laut pada 30 Oktober hingga 3 November.
Pada peringkat ini, aset-aset agensi akan melaksanakan eksesais di perairan Kota Kinabalu, GSP, Beting Patinggi Ali dan Beting Raja Jarum seterusnya diakhiri di kawasan perairan Kuching.
Fasa terakhir bagi eksesais ini merupakan Fasa Pasca Eksesais. Pada fasa ini sesi ‘post mortem’ dan rumusan akan dilaksanakan di Pejabat Maritim Negeri Sarawak pada 3 dan 4 Nov. – TVS