KUALA LUMPUR, 1 Nov: Subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan berkuat kuasa hari ini bagi membolehkan kerajaan meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan wang tunai.
Walaupun tiada lagi subsidi dan kawalan, kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga secara mendadak ke atas bahan mentah itu dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
Dua hari lepas, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.8 bilion bagi menampung kos ayam dan telur sejak Februari 2022.
Mohamad berkata rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi siaran soalan lazim di laman sesawangnya menyebut kerajaan dapat menjimatkan RM100 juta sebulan susulan langkah mengapungkan harga ayam seterusnya membolehkan pelaksanaan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan tunai.
Ia termasuk melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti dan program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
Prihatin dengan penduduk luar bandar, kerajaan akan menganjurkan Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah di seluruh negara supaya harga jualan ayam kekal kompetitif dan tidak membebankan rakyat.
Kerajaan juga memberi jaminan akan sentiasa melaksanakan pemantauan harga ayam daripada peringkat ladang hingga ke outlet peruncitan dari semasa ke semasa yang akan dilaksanakan bersama KPKM dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Sementara itu, kerajaan bersetuju meneruskan subsidi bagi telur gred A, B, C mengikut mekanisme sedia ada. -TVS