BINTULU, 1 Nov: Kerajaan Sarawak berhasrat menawarkan tanah kepada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) sekiranya syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia itu berminat untuk membangunkan kampus Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Bintulu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan kampus itu bertujuan untuk kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan PETRONAS meneroka tenaga boleh diperbaharui.
“Kita ada lebihan tanah di sini, ia terpulang kepada pengurusan PETRONAS sama ada mereka hendak membangunkan kampus di sini, kita alu-alukan
“Kalau mereka hendak membina di Bintulu ini seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu kerana di sini sesuai untuk praktikal.
“Contohnya berkenaan dengan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) memerlukan kepakaran, jadi sebab itu saya cadangkan sama ada kampus atau kolej dapat ditubuhkan di sini, Sarawak dan PETRONAS boleh bekerjasama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kampus Bintulu di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh menyambut baik cadangan itu dengan memberitahu bahawa pihaknya akan melakukan kajian mengenainya terlebih dahulu.
“Bagi pihak PETRONAS, kita akan kaji dahulu dengan mengambil kira faktor-faktor yang tertentu sebelum membuat keputusan.
“Ia satu cadangan yang baik dan kita akan kaji cadangan ini terlebih dahulu bagi melihat sama ada wujudnya implikasi atau tidak,” katanya. -TVS