Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyiram tanaman buluh sebagai tanda simbolik perasmian. Foto: Muqri Aziz (TVS)

Sarawak sasar RM10 juta setahun hasil tanam buluh di Bintulu – Abang Johari

ByMuqri Aziz

BINTULU, 1 Nov: Sarawak berhasrat untuk menyasarkan hasil kutipan pendapatan daripada penanaman buluh berjumlah RM10 juta setahun.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini kerana penanaman tanaman tersebut bukan sahaja mesra alam malah mejadi senjata rahsia alam semula jadi dalam memerangi perubahan iklim.

“Saya telah difahamkan bahawa Malaysia mempunyai penambahan pendapatan daripada buluh. Kalau dari sudut pasaran dunia, ia ada berjumlah lebih kurang 66.22 juta AS Dolar dan di Malaysia kita ada mengeluarkan bernilai RM8.43 juta pada tahun yang sama iaitu 2022.

“Kita di Sarawak ada juga tapi tidak banyak iaitu RM1.2 milion sahaja. Jadi, kita mahu naikkannya supaya RM10 juta setahun daripada RM1.2 juta,” beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Penghijauan Samalaju dan Pembejalan Bahan Mentah Lestari melalui Penanaman Buluh di sini, pada Rabu.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri di Pejabat Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Yuki Nakamura, Pengurus Besar BDA Datu Muhamad Yakup Kari, Pengurus Besar STIDC Zainal Abidin dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti.

Tambah Abang Johari lagi, usaha ini juga bertujuan mencapai matlamat yang ditetapkan dalam inisiatif transformasi iaitu memupuk kelestarian dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan.

Menurutnya lagi, penanaman buluh itu mudah ditanam berikutan senang ditumbuh dalam mana-mana keadaan iklim di Sarawak.

“Sebenarnya buluh ini tidak asing di Sarawak. Ia adalah tumbuhan asli. Anda boleh menanamnya di mana-mana sahaja dalam mana-mana keadaan iklim.

“Sebab itulah STIDC mempunyai pelan induk cara penanaman buluh di Sarawak kerana ia agak mudah ditanam dan merebak akan tetapi tempat itu juga sering didekati ular,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau berkata kini adanya teknologi bagi mengesan ular serta cara untuk memeranginya.

Dalam majlis tersebut, Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan Pertama Ferroalloys Sdn Bhd telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama dalam bidang penanaman buluh di Sarawak. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan