BINTULU, 1 Nov: Misi mendekati penduduk di kawasan luar bandar menjadi strategi pecutan terakhir calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, mengisi baki dua hari ini sebelum tempoh berkempen tamat.
Menurut Iskandar, setakat ini dirinya bersama jentera telahpun menyantuni hampir kesemua kawasan sebelum hari penentu, Sabtu ini.
“Kita telah pergi ke kawasan luar bandar yang meliputi kawasan pesisiran sehinggalah kawasan Sungai Annau di Tatau.
“Menerusi pengamatan saya berkunjung dan menyantui penduduk di rumah panjang, hampir kesemua mereka menyokong GPS dan ia jelas menunjukkan bahawa mereka tahu sumbangan GPS kepada mereka adalah satu manfaat yang besar.
“Dari tiada bekalan elektrik dan air hinggalah mereka mendapat bekalan yang secukupnya, ini adalah janji GPS untuk mahu membangunkan kawasan tersebut,” beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyantuni pengundi DUN Jepak di pada Program Mesra Bersama Pemimpin anjuran empat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) iaitu Kampung Baru Laut, Kampung Baru Tengah, Kampung Baru Darat dan Kampung Kemunting di Dewan Serbaguna Belia Kampung Kemunting di sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusuf dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris.
Iskandar dalam pada itu berkata GPS merupakan sebuah parti yang patuh akan janji dan menunaikan segala manifesto serta aku janji yang ditawarkan oleh gabungan komponen itu yang jelas disaksikan dengan pembangunan yang mampan di kawasan Kampung Jepak.
Sementara itu, Iskandar yang disoal pemberita berhubung pengalaman pertama kalinya turun ke kancah politik melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak, Iskandar menyifatkan senario kini adalah baharu baginya namun dirinya tidak mudah melatah.
“Dahulunya ketika saya menjadi Pengarah Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, saya melakukan program ‘outreach’ dengan menyantuni keluarga-keluarga klien saya.
“Walaupun pendekatannya sama akan tetapi golongan sasarnya berbeza yang mana ia sangat mencabar apabila saya berkempen ke kawasan yang sangat jauh daripada bandar Bintulu seperti di rumah panjang dan adanya menghubungkan melalui jalan sungai,” katanya lagi.
Iskandar dalam pada itu mengakui dirinya seronok turun berkempen kerana dapat menyantuni rakyat dan mendengar permasalahan mereka untuk diselesaikan sekiranya beliau terpilih oleh rakyat untuk menjadi wakil rakyat baharu di DUN Jepak menggantikan Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.
Sebanyak 22,804 pengundi DUN Jepak dijangka akan membuang undi pada Sabtu ini. – TVS