Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pasukan WAK 2023 bersama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah semasa acara WAK2023 Afterparty.

Potensi WAK disenarai dalam kalendar tahunan Sarawak, dibincangkan – Abdul Karim

ByYusuf Shukri

KUCHING, 1 Nov: Hasrat menyenaraikan What About Kuching (WAK) sebagai acara dalam kalendar tahunan Sarawak akan dibincangkan, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut beliau, perbincangan secara mendalam akan dilakukan berikutan pihaknya melihat WAK berupaya menjadi platform terbaik untuk mengenengahkan komuniti kreatif.

“Saya dapat melihat impak yang telah dikecapi oleh festival ini dan saya yakin ia boleh dikembangkan kepada festival bulanan Sarawak bertaraf antarabangsa.

“Oleh itu saya berharap kolaborasi antara pihak WAK dan rakan usahasama tempatan dan juga antarabangsa dapat diteruskan untuk memartabatkan lagi jenama ‘WAK’ kepada lebih ramai pengunjung,” katanya pada majlis penutup WAK2023 di sini pada Selasa.

Abdul Karim memberitahu WAK tahun ini telah berkolaboratif bersama 59 rakan usaha sama di Sarawak, Semenanjung Malaysia dan antarabangsa termasuk Scotland untuk menganjurkan festival siri kelima dengan jayanya sepanjang bulan Oktober lepas.

“Saya sangat berpuas hati apabila mendapat tahu bahawa WAK berjaya mendapat perhatian badan-badan korporat yang sudah menunjukkan minat mereka dalam menjayakan WAK yang mempunyai fokus kepada elemen kebudayaan dan kesenian di Sarawak ini.

“Oleh itu, WAK menjadi platform yang penting untuk organisasi mengukuhkan jenama mereka di Sarawak kerana festival ini mempunyai tarikan yang unik kepada komuniti setempat terutamanya golongan muda,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Pengerusi Festival, Donald Tan berkata objektif utama WAK adalah untuk memeriahkan suasana Bandaraya Kuching sekali gus memantapkan lagi bandar raya ini sebagai destinasi tarikan pelancong selari dengan visi kerajaan untuk memajukan Sarawak dengan cogan kata ‘A City with a Soul’.

Beliau turut mengakui meskipun WAK kali ini berdepan dengan cabaran daripada segi kekurangan lokasi ekoran pelbagai acara diadakan secara serentak di sini, namun kekangan itu dapat diatasi dengan baik.

“Oleh itu pihak kami amat berterima kasih kepada dengan sektor swasta dan pihak majlis perbandaran kerana sudi memberikan kami lokasi untuk menjayakan festival ini dan kami harap ia akan berterusan untuk tahun-tahun yang akan datang,” tambah Donald. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan