Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Norleha Shariff menunjukkan borang permohonan pengiktirafan status Bumiputera di bawah Ordinan Tafsiran (Pindaan)2022. Foto: TVS

Permohonan status Bumiputera dibuka hari ini, 1 Nov

KUCHING, 1 Nov: Individu atau kanak-kanak berketurunan campuran di Sarawak kini boleh memohon pengiktirafan status Bumiputera di bawah Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022 berkuat kuasa hari ini, 1 November 2023.

Residen Bahagian Kuching, Norleha Shariff berkata permohonan boleh dikemukakan di Pejabat Daerah berdekatan yang kini dibuka dengan ketetapan syarat dan kriteria yang wajib dipatuhi.

“Syarat pertama, pemohon mestilah warganegara Malaysia, keduanya anak yang dilahirkan mestilah dari keturunan peribumi Sarawak, ibu atau bapa adalah peribumi Sarawak untuk memenuhi syarat yang ditetapkan bagi mendapat pengiktirafan status bumiputera Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama rombongan persatuan, pertubuhan dan ketua masyarakat di Pejabat Residen Kuching pada Rabu.

Untuk rekod, Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022 telah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 15 Februari 2022.

Pemindaan dilakukan kepada Perkara 61 Ordinan Tafsiran 2005 iaitu memasukkan anak-anak hasil daripada perkahwinan campur sebagai bumiputera walaupun hanya salah seorang ibu atau bapanya adalah pribumi Sarawak.

Menurut Norleha permohonan untuk mendapatkan status ini dilihat sebagai peluang yang bernilai.

Malah katanya individu yang berjaya mendapatkan status berkenaan layak untuk memiliki tanah hak adat bumiputera (NCR) yang dipindah milik selain memberikan hak keistimewaan seperti akses kepada bantuan kewangan, pendidikan, dan peluang pekerjaan.

Jelasnya, setiap permohonan perlu melalui proses awal sebelum dikemukakan kepada jawatankuasa dalam mesyuarat yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

“Pemohon dikehendaki mengisi borang NRA 1 dalam tiga salinan berserta gambar berukuran pasport dan salinan sijil lahir anak, ibu dan bapa yang telah disahkan, untuk tujuan ini, pemohon turut dikenakan bayaran yuran sebanyak RM100 kepada pejabat daerah.

“Jika ibu atau bapa yang telah meninggal dunia, pemohon boleh mengepilkan bersama salinan daftar sijil kematian yang telah disahkan.

“Permohonan akan diproses dalam tempoh tiga hingga tujuh hari bekerja selepas disemak oleh pejabat daerah dan disahkan oleh pegawai yang diberi tanggungjawab.

“Ia kemudian akan dihantar kepada Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak untuk pemeriksaan sebelum kelulusan dibuat bagi tujuan pengiktirafan status bumiputera Sarawak, proses itu dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ke-15 setiap bulan yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak,” jelasnya.

Setakat ini katanya lebih 30 pemohon telah hadir di Pejabat Daerah Kuching bagi mendapatkan borang.

Permohonan yang diluluskan akan menerima makluman pengesahan status dan sijil pengiktirafan yang dikeluarkan oleh Jabatan Premier Sarawak. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan