Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Latihan bukti konsep ART akan dijalankan di laluan khas sepanjang tiga kilometer yang dibina antara dua bulatan di sepanjang jalan Kuching-Kota Samarahan. Foto: TVS

Laluan latihan bukti konsep ART siap pertengahan November

KUCHING, 1 Nov: Laluan khas yang digunakan untuk latihan bukti konsep (POC) transit aliran autonomi (ART) di Kota Samarahan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan November ini.

Sarawak Metro Sdn Bhd menerusi kenyataan berkata, setakat Oktober kemajuan fizikal kerja-kerja infrastruktur telah siap kira-kira 78 peratus.

Dato Sri Lee Kim Shin melawat tapak laluan khas ART di Kota Samarahan pada Selasa. Foto: Sarawak Metro

“Selepas itu persiapan untuk tapak latihan POC akan dimulakan dengan kerja-kerja penandaan jalan dan kerja-kerja penentukuran untuk ART,” katanya, hari ini.

Latihan POC akan dijalankan di laluan khas sepanjang tiga kilometer yang dibina antara dua bulatan di sepanjang jalan Kuching-Kota Samarahan.

Laluan ini membentuk satu bahagian yang akan menjadi lorong berkembar khas ART kekal yang dibina untuk Laluan Biru, Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Latihan POC ini akan menilai kebolehlaksanaan unit prototaip bagi reka bentuk akhir kenderaan ART.

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin melawat tapak pembinaan lorong khas ART yang bertujuan mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan kerja serta persiapan untuk latihan POC.

Lawatan itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Mazli Mustaffa dan Pengurus Besar, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Datu Abdul Hadi Abdul Kadir.

Menerusi kenyataan sama, Sarawak Metro memaklumkan bahawa ujian kejuruteraan selama dua bulan ART di Isthmus telah memenuhi objektif bagi mengumpul data diperlukan untuk prototaip kenderaan pelepasan karbon sifar.

Fokus ujian kejuruteraan yang dijalankan pada September dan Oktober adalah untuk mengumpul data teknikal dengan penekanan pada sistem panduan pergerakan kenderaan ART dan sistem pendorongan sel bahan api hidrogen.

Data tersebut akan berfungsi sebagai input penting untuk fasa reka bentuk berterusan kenderaan ART sebelum ia memasuki peringkat pengeluaran besar-besaran.

Ujian kejuruteraan yang dilancarkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 6 September merangkumi jarak lebih 5,400 kilometer.

Ujian kejuruteraan akan diteruskan sehingga awal November.

Semasa ujian kejuruteraan dijalankan, lebih 80 kumpulan agensi kerajaan Sarawak dan Persekutuan serta pelbagai pihak berkepentingan daripada sektor swasta dan badan bukan kerajaan telah diberi peluang untuk menaiki kenderaan prototaip ART.

Sarawak Metro, anak syarikat milik penuh SEDC merupakan pelaksana projek KUTS yang merangkumi ART. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan