KUCHING, 1 Nov: Kumpulan ExcroZim Band menjuarai pertandingan Battle Of The Band 2023 anjuran Majlis Seni Sarawak sempena Sarawak Regata 2023 di Tebingan Kuching malam tadi.
Edisi tahun ini disertai lima buah kumpulan daripada 19 buah kumpulan yang melayakkan diri melalui pusingan saringan awal yang telah diadakan pada 21 Oktober di Rumah Sarawak.
Lima kumpulan tersebut ialah Panggung Khayalan, Simplitude, NNC, ExcroZim Band, dan The Zeus.
Kumpulan yang bertanding perlu mengolah sebuah ‘medley’ yang merangkumi gabungan lima buah lagu iaitu instrumental blues, 70-an, 80-an, 90-an dan lagu terkini.
Johan pertandingan ExcroZim Band terdiri daripada lima orang ahli iaitu Lucky Guy Tober ak Kenedi, pemain gitar utama yang bertugas sebagai seorang tentera, Steven Allen ak Yambi, seorang promoter jualan (sales promoter), Louis Lance ak Lening, pemain keyboard, seorang pelajar di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Josephine Linda ak Jaba, seorang pelayan restoran, bertindak sebagai vokalis, dan Cyril Victor ak Majik, seorang kontraktor, bermain dram. Kesemua ahli kumpulan berasal dari Bau.
Ketika ditemui TVS, ahli kumpulan tersebut menyatakan bahawa mereka tidak menyangka akan menjadi johan.
“Kumpulan kami bukanlah sebuah kumpulan yang tetap. Kesemua kami berasal dari kugiran yang berlainan dan bergabung untuk menubuhkkan kugiran ini demi menyertai pertandingan ini,” jelas Lucky.
Mengenai susunan dan perancangan persembahan kumpulan, Lucky menyatakan bahawa persembahan mereka adalah hasil daripada perbincangan sesama sendiri dan sumbangan idea daripada rakan-rakan.
“Kami hanya berlatih sebanyak tiga kali dan kali terakhir adalah pada hari sebelum pertandingan. Kami memilih lagu berdasarkan melodi lagu untuk memastikan penonton dapat menikmati persembahan kami.
“Kami juga akan cuba untuk menyertai lebih banyak pertandingan sebegini pada masa akan datang,” tambah Lucky.
Kumpulan ExcroZim Band membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta trofi sebagai johan. Tempat kedua disandang Panggung Khayalan yang menerima RM2,000 dan trofi manakala tempat ketiga dimenangi oleh kumpulan NNC yang menerima RM 1,000 beserta trofi.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak, Dayang Mariana Abang Bolhassan. – TVS