KUALA LUMPUR, 1 Nov: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru ahli-ahli akademik di negara ini agar gigih menguruskan segala kekacauan dan perubahan yang sedang dan akan berlaku bersama-sama dengan kerajaan serta pemimpin.
Beliau berkata, kerajaan dan ahli akademik mesti bersama-sama mencari ikhtiar paling baik dan berkesan untuk menghasilkan dapatan ilmu yang berupaya meraikan daya usaha serta daya cipta rakyat tempatan ke arah kemajuan sosial dan budaya yang lestari.
“Apatah lagi dengan segala kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang digital. Saya percaya, semua itu membawa kelebihan dan potensi yang boleh diadun untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara,” katanya dalam ucapan pada Anugerah Akademik Negara ke-15 di sini, pada Selasa.
Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Anwar berkata, era sekarang yang sarat dengan cabaran dan kekacauan bukan sahaja menjadikan agenda kemajuan sering bergelut dengan nilai serta moral yang baik, malah pegangan terhadap ilmu dan kesarjanaan turut terhakis secara radikal.
Perdana Menteri menjelaskan ketaasuban dan pemikiran sempit, ideologi yang berpaksikan pada kemewahan material dan prinsip yang tidak konsisten juga terus merumitkan keadaan.
“Itu belum lagi kita melihat semua ini dalam lensa global yang menyaksikan pelbagai pertembungan. Pertembungan blok perdagangan, krisis alam sekitar, peperangan dan konflik yang berpanjangan.
“Kesemua ini memberi tempias yang besar kepada negara dan mesti kita uruskan dengan cara yang bukan sahaja berkesan dan strategik, tetapi pantas dan praktikal,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, segala kekacauan dan kerancuan itu menuntut ahli akademik untuk menebalkan rasa tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa serta aspirasi nasional.
Selain itu, beliau turut berharap ahli-ahli akademik tempatan akan memainkan peranan menjadi peneraju akal dan pemikiran bangsa khususnya dalam menggerakkan Gagasan Malaysia MADANI sebagai satu etos nasional yang menyeru kepada kebaikan.
Sehubungan itu, Anwar memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinannya akan terus memberi dorongan kepada semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) khususnya dalam usaha meneroka dan mewujudkan bidang pengajian baharu termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.
“Pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.
“Malah, membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan. Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat dan menghormati ilmu,” katanya.
Menyentuh mengenai Anugerah Akademik Negara, Anwar berkata ia perlu dilihat sebagai perkara besar dalam meneruskan tradisi yang dimulakan kerajaan untuk meraikan kesarjanaan ahli akademik tempatan.
Katanya, masyarakat sentiasa memerlukan ikon kesarjanaan dan suri teladan yang berketerampilan, berintegriti lagi berwibawa. – TVS