BALI, 31 Okt: Kongres Tenaga Hidro Dunia (WHC) 2023 berjaya melonjakkan lagi nama Sarawak dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di persada antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad (SEB) Datuk Sharbini Suhaili berkata persidangan yang turut dihadiri Presiden Indonesia, Joko Widodo itu merupakan pengiktirafan terhadap usaha Sarawak dalam pembangunan tenaga hidro.
“Ini merupakan satu penghormatan besar untuk Premier Sarawak (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) berada di atas pentas yang sama dengan Presiden Indonesia bagi berkongsi mengenai peralihan Sarawak ke arah tenaga hidro dan usaha kita ke arah tenaga yang lebih hijau dan masa depan yang mampan.
“Oleh kerana potensi besar tenaga hidro, Sarawak dapat meneroka sumber tenaga boleh diperbaharui yang lain seperti solar, hidrogen dan sebagainya,” katanya kepada TVS.
Dalam pada itu, Sharbini juga sempat berkongsi mengenai pencapaian dan peranan SEB dalam memajukan sektor tenaga hidro di Sarawak pada pertemuan antarabangsa itu.
“SEB telah membangunkan beberapa projek kuasa hidro yang membolehkan kita untuk mengubah atau meningkatkan campuran penjanaan Sarawak daripada 92 peratus hidrokarbon pada tahun 2010 kepada 70 peratus kuasa hidro boleh diperbaharui pada tahun 2015.
“Ini membolehkan kita untuk mengurangkan pelepasan karbon grid sebanyak 72 peratus dari 2010 hingga 2020,” katanya.
Ujarnya lagi, beliau turut berkongsi mengenai perkongsian sumber tenaga dengan negara jiran melalui eksport bekalan tenaga elektrik hidro.
“Ideanya adalah untuk kita berkongsi tenaga boleh diperbaharui yang telah dikurniakan kepada Sarawak, berkongsi dengan jiran kita, supaya kita boleh membantu mereka melakukan peralihan tenaga mereka juga.
“Ia juga supaya seluruh wilayah boleh mempunyai peralihan tenaga mereka sendiri,” jelasnya.
Katanya, Sarawak akan menerajui pembangunan grid Borneo dan seterusnya penyambungan grid serantau dengan eksport tenaga ke Kalimantan Barat, Sabah, Brunei dan Singapura.
“Kami berharap seluruh rantau ini akan saling berhubung di mana Sarawak boleh berkongsi sumber tenaga boleh diperbaharui dengan negara-negara jiran.
“Perkongsian ini juga akan membantu mereka beralih kepada ekonomi yang lebih hijau,” katanya. -TVS