BINTULU, 31 Okt: Golongan sasaran yang tinggal sendirian seperti warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sini menerima bantuan bulanan berjumlah RM500.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu merupakan antara inisiatif pihaknya membantu mereka yang tidak bernasib baik di sini.
Menurut Fatimah seramai 44 orang sukarelawan HomeHelp di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak turun padang untuk  membantu golongan sasaran di sini untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Aktiviti sukarelawan ini merupakan langkah penting dalam menjaga kesejahteraan dan kebahagiaan golongan yang sering terpinggirkan.
“Mereka dilatih untuk memberikan bantuan kepada warga emas yang tidak lagi mampu meninggalkan rumah mereka dan tugas mereka termasuk membantu dalam pembelian barang keperluan, membersihkan rumah, dan menjalin hubungan sosial dengan para penerima bantuan.
“Pada masa sama, kami tidak mahu mereka merasa kesunyian atau kemurungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah di Kampung Baru di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (Kesejahteraan Komuniti) Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.
Fatimah turut dalam pada itu berkata bantuan yang disalurkan sebanyak RM500 itu dapat mrmbantu meringankan beban mereka seharian.
“Bantuan yang disalurkan itu membantu mereka membayar bil, membeli makanan, dan memenuhi keperluan harian mereka.
“Pada masa sama, Kerajaan Sarawak juga telah memperuntukkan dana untuk memperbaiki rumah keluarga miskin. Ini termasuk pembaikan atap, dinding, dan pembangunan tandas yang sesuai untuk warga emas.
“Ini juga bertujuan untuk memastikan rumah menjadi tempat yang nyaman dan aman bagi setiap individu,” ujarnya.
Fatimah menambah menjadi contoh yang baik agar masyarakat setempat dapat bersatu untuk meningkatkan kesejahteraan sesama anggota komuniti, dan ini merupakan langkah positif dalam menjaga kesejahteraan warga emas dan golongan OKU di Sarawak.
Untuk rekod, sebanyak 44 orang sukarelawan di DUN Jepak yang meliputi kawasan Jepak (29), Tanjung Batu (8), Kemena (3) dan Kakus (4). – TVS