KUCHING, 24 Okt: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) tidak mempunyai perancangan untuk membina litar lumba di negeri ini, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bagaimanapun, beliau mendedahkan kerajaan sedia untuk menaik taraf litar sedia ada sebagai usaha membangunkan industri sukan permotoran di Sarawak.
“Kita akan mempertimbangkan untuk menaik taraf litar sedia ada di Kuching, Miri, tetapi setakat ini tidak ada perancangan untuk membangunkan terlalu banyak litar lumba di Sarawak.
“Saya tahu mungkin ramai yang akan tidak setuju dengan komen ini terutama golongan belia, saya katakan apa yang perlu,” katanya.
Menjelaskan lanjut, Abdul Karim berkata ia bukan bermaksud kerajaan tidak menyokong sukan permotoran tetapi setiap tindakan yang diambil perlu dinilai secara rasional.
Secara peribadi tegasnya, langkah mewujudkan litar lumba tidak akan menghentikan gelaja lumba haram di jalanan.
“Jika ada yang mengatakan saya tidak menyokong sukan permotoran di Sarawak, ia tidak wajar dan salah, kerana saya sendiri minat dengan sukan ini.
“Tetapi sekali lagi, kita harus rasional dalam perkara ini, kita menggalakkan untuk berjaya dalam sukan permotoran (sah), namun ketika ini bukan masa untuk kita membangunkan litar lumba,” katanya.
Bercakap mengenai kos, pembinaan sebuah litar lumba katanya memakan kos yang besar sehingga mencecah jutaan ringgit.
Setakat ini, tumpuan diberikan kepada pembangunan sukan yang dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Asia Tenggara (SEA).
“Ada aduan mengenai perkara ini, kita mempunyai litar di Miri dan Kuching, tetapi berapa banyak litar yang anda mahu, kerana untuk membinanya bukan murah, anda boleh datang untuk berlumba di Kuching atau Miri, tetapi kita tidak dapat tunai jika setiap kawasan memerlukan pembinaan litar, kita mesti praktikal dalam perkara ini,” katanya. -TVS