Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari bersama Joko Widodo dan bekas Perdana Menteri Australia yang juga Presiden Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) Malcolm Turnbull pada perasmian Kongres Tenaga Hidro (WHC) Kesembilan di Bali, Indonesia hari ini. Foto Zaim Zharfan (TVS)

Sarawak mampu bekal tenaga bersih kepada ASEAN – Abang Johari

ByDouglas Elliot

BALI, 31 Okt: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak memiliki keupayaan untuk membekalkan tenaga bersih dan mampan kepada rantau ASEAN.

Berucap pada pembukaan Kongres Tenaga Hidro (WHC) Kesembilan yang turut dihadiri Presiden Indonesia Joko Widodo, beliau yang juga Premier Sarawak memberitahu, wilayah kedua terbesar di Malaysia itu kini meneraju sektor tenaga boleh diperbaharui, terutama tenaga hidro.

Kata beliau, tenaga hidro mampan merupakan asas kepada pembangunan Sarawak berikutan memiliki sumber semula jadi yang banyak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada pembukaan Kongres Tenaga Hidro (WHC) Kesembilan di Bali, Indonesia, hari ini. Foto TVS.

“Sarawak memiliki sekurang-kurangnya 8,000 megawatt (MW) kuasa hidro di tapak berpotensi tinggi dengan 3,452 MW telah dimanfaatkan melalui tiga empangan besar,” katanya.

Abang Johari berkata, keupayaan Sarawak dalam ekonomi hijau itu tidak terhad kepada hidro semata – mata kerana mereka juga mula memanfaatkan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti air, solar dan angin.

“Tenaga solar mempunyai sinergi dengan tenaga hidro dan Sarawak Energy Berhad kini sedang membangunkan ladang solar terapung berkapasiti 50 MW di Batang Ai HEP.

“(Ini) dijangka dapat mengimbangi sekitar 52,000 metrik ton karbon setiap tahun,” ujarnya.

Sementara itu, Abang Johari turut menekankan kesalinghubungan perlu menjadi sasaran utama untuk mencapai matlamat kelestarian serantau.

“Tenaga hidro adalah sumber tenaga utama yang akan mempercepatkan pembangunan Grid Kuasa ASEAN,” tambah beliau.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkongsi mengenai usaha dilaksanakan Sarawak dalam ekonomi hijau pada Kongres Tenaga Hidro (WHC) Kesembilan di Bali, Indonesia, hari ini. Foto TVS.

Sementara itu, Abang Johari berkata, perkongsian sumber tenaga Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia pada 2016 merupakan contoh terbaik bagaimana dua negara menerima manfaat melalui kesalinghubungan.

“Kerjasama itu telah membuatkan Sarawak mendapat kepercayaan dari Kerajaan Indonesia untuk membangunkan Projek Hidroelektrik Mentarang Induk (MIHEP) 1,375 MW dengan kerjasama Adaro dan Kayan Patria Pratama di Kalimantan Utara,” katanya.

Pada Mac lepas, Abang Johari bersama Jokowi telah menyempurnakan majlis pecah tanah projek itu.

WHC yang merupakan acara dwitahunan turut dihadiri bekas Perdana Menteri Australia dan Presiden Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA) Malcolm Turnbull. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan