Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada sidang media Kongres Tenaga Hidro Dunia 2023 di Bali, hari ini. Foto: TVS

Sarawak diberi kebenaran perinci rancangan bekal elektrik ke Singapura

ByDouglas Elliot

BALI, 31 Okt: Sarawak diberi kebenaran untuk mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Singapura berkenaan projek pembekalan tenaga elektrik menerusi kabel dasar laut dari Tondong.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kebenaran itu diberi oleh Kerajaan Persekutuan yang telah bersetuju secara prinsip mengenai perkara berkenaan dalam dalam Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10, semalam.

“Sukacita dimaklumkan bahawa projek untuk membekalkan tenaga elektrik ke Singapura dengan kapasiti 1,000 megawatt sekarang boleh dimulakan kajian,” katanya pada sidang media sempena Kongres Tenaga Hidro Dunia (WHC) 2023 di sini, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan dan seterusnya perbincangan bersama kerajaan republik itu.

Sebelum ini, Abang Johari berkata Sarawak Energy Berhad (SEB) telah menyelesaikan kajian teknikal dengan rakan kongsinya Sembcorp Industries dan Singapore Power Group mengenai rancangan membekalkan elektrik ke Singapura.

Pada sidang media yang sama, beliau juga berkongsi mengenai pertemuan empat mata bersama Presiden Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa Malcom Turnbull.

“Kami telah berbincang mengenai kekuatan Sarawak yang mempunyai kelebihan dari sudut hujan dan sungai berbanding Australia.

“Sarawak tidak bergantung kepada pam hidro tetapi aliran anak sungai semula jadi. Oleh itu, ia tidak menjejaskan alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, SEB sudah memiliki projek sedemikian rupa di Lawas, namun beliau bercadang untuk menambah kapasitinya.

Katanya, Sarawak berpotensi untuk menjana lebih 20,000 megawatt elektrik dari sumber hidro. Sarawak kini menjana 7,000 megawatt elektrik dari empangan.

Mengenai acara WHC, Premier memberitahu bahawa Sarawak akan meneroka penjanaan tenaga hidro di peringkat mikro.

“Kita akan melakukan kajian berkenaan metodologi bagi penjanaan tenaga tersebut,” jelasnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan