BALI, 31 Okt: Pejabat Konsulat Jeneral Singapura yang dipersetujui dibuka di Kuching bakal mengeratkan hubungan Sarawak dan negara republik itu dalam pelbagai aspek.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkata demikian, menambah rancangan berkenaan dipersetujui Kerajaan Malaysia dan Singapura dalam pertemuan pada Isnin.
“Ia juga akan melonjakkan ekonomi dan kita telah pun lihat peningkatan jumlah pelancong Singapura ke Sarawak,” katanya ketika ditemui pada Kongres Tenaga Hidro Dunia (WHC) 2023 di sini, hari ini.
Abang Johari turut memaklumkan Kerajaan Singapura juga bersetuju membuka pejabat Konsul Jeneral di Kota Kinabalu.
Tidak ada tarikh spesifik dinyatakan mengenai rancangan pembukaan pejabat berkenaan.
Dalam perkembangan lain, beliau telah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai pengambil alihan MASWings Sdn Bhd oleh Kerajaan Sarawak dalam pertemuan sama.
Beliau mencadangkan agar syarikat penerbangan itu nanti dapat menawarkan perkhidmatan penerbangan ke Singapura.
Penerbangan itu dijangka akan mengukuhkan sektor pelancongan Sarawak.
“Ia dapat menarik bukan sahaja pelancong Singapura bahkan pengunjung yang singgah di Singapura untuk datang ke Sarawak,” tambahnya.
Pada Isnin, Abang Johari menyertai Sesi Permukiman Pemimpin-pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. – TVS