Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Hazami Jahari (tengah) bersama guru dan pelajar pada Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah peringkat Sarawak 2023 di Kuching, hari ini. Foto: TVS

DBP tubuh pasukan khas kaji, dokumentasi bahasa sukuan Sarawak

KUCHING, 31 Okt: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak akan menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mengkaji dan mendokumentasikan bahasa-bahasa suku kaum di negeri ini yang semakin kurang penuturnya.

Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari berkata, pasukan itu yang akan berkerjasama dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) diharap dapat memastikan setiap bahasa-bahasa tersebut tidak terus pupus disebabkan ketiadaan penuturnya.

Katanya, DBP sebelum ini telah menerbitkan daftar kata sukuan yang mendokumentasikan bahasa-bahasa tempatan Sarawak selain penerbitan beberapa jenis kamus seperti kamus Bahasa Iban, Kamus Bahasa Melanau Mukah dan terbaru kamus bahasa dialek Melayu Sarawak.

“Ini sebahagian daripada usaha DBP untuk memastikan bahasa sukuan di Sarawak itu dikekalkan selain turut menjadi penyumbang kepada kekayaan bahasa kebangsaan.

“DBP juga ada satu usaha untuk memastikan kearifan tempatan terutamanya berkaitan bahasa dan budaya itu dapat terus di kekalkan dalam bentuk penerbitan bahan bacaan.

“Kalau tidak terbitkan mungkin satu ketika nanti bahan ini akan hilang begitu sahaja kerana percampuran atau migrasi sesuatu kaum yang sedikit sebanyak akan menghakis nilai-nilai jati diri bahasa dan budaya tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah peringkat Sarawak 2023 di sini, hari ini.

Terdahulu, DBP Sarawak melaporkan sebanyak empat bahasa sukuan telah pupus daripada dituturkan iaitu bahasa Seru, Pegu, Bliun dan Lelak di Sarawak disebab ketiadaan penutur jatinya.

Hazami berkata, usaha untuk mendokumentasikan setiap bahasa-bahasa suku kaum di Sarawak itu merupakan usaha berterusan DBP.

Namun menurutnya, tumpuan akan diberikan kepada bahasa-bahasa suku kaum yang penutur jatinya semakin berkurangan bagi mengelakkan bahasa- bahasa tersebut terus hilang atau dilupakan.

“Kita minta juga persatuan-persatuan kebudayaan untuk datang membantu kita bagi memastikan bahasa mereka itu dapat kita pertahankan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan