TANJUNG MANIS, 30 Okt: Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) meluluskan peruntukan RM267 juta untuk melaksanakan projek pembinaan jalan raya Kampung Paloh dalam kawasan Parlimen Tanjung Manis.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, projek berkenaan merangkumi laluan sepanjang 26 kilometer (km) termasuk dua jambatan merentasi Batang Belawai dan Paloh.
Katanya, jalan raya yang disediakan itu menghubungkan Kampung Paloh, Kampung Kedang, Berangan dan Kampung Stalun hingga ke Tanjung Manis.
“Kajian lebih teliti dan juga pengukuran tanah yang akan dibuat oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak lama lagi. Projek ini adalah projek jalan Kampung Paloh ke Tanjung Manis fasa satu.
“Jumlah tersebut masih dalam anggaran, sekiranya tidak mencukupi mungkin ada lagi fasa kedua untuk projek ini,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Pemimpin bersama Rakyat di Kampung Stalun, Tanjung Manis, semalam.
Jelasnya lagi, projek itu bukan sahaja amat dinanti-nantikan oleh penduduk tetapi bakal merancakkan kegiatan ekonomi penduduk sebagai pusat pertanian, penternakan dan perikanan.
“Setelah sekian lama mereka menunggu sebuah jalan yang menghubungkan mereka dengan kawasan lain di kawasan Parlimen Tanjong Manis.
“Saya harap Kerajaan Persekutuan melaksanakan projek ini secepat mungkin tanpa melengahkan kerana jalan ini sudah lama diperlukan,” katanya. – TVS