Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol dan Iskandar Turkee bersama para belia pada satu program di kawasan DUN Jepak, baru-baru ini. Foto fail: TVS

PRK Jepak: GPS ambil pendekatan lebih mendengar daripada bercakap

BINTULU, 30 Okt: Kempen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak memberi ruang untuk mengumpul input bagi memantapkan lagi program pembangunan yang sedang dijalankan.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdullah Saidol berkata kempen GPS bukan semata-mata untuk memenangi PRK itu tetapi sebagai medan untuk mendengar maklum balas dari penduduk kawasan DUN itu.

“Ini masanya untuk kami lebih banyak mendengar daripada kami beritahu mereka apa yang patut dibuat. Hasil daripada apa yang kami dengar dari situlah nanti kami akan mencorakkan pelan agenda (pembangunan) kami,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya pendekatan lebih mendengar daripada bercakap itu amat perlu khususnya dalam menyelami kehendak pengundi muda di kawasan berkenaan yang mewakili lebih 60 peratus daripada jumlah pemilih berdaftar di DUN Jepak.

“Kami menjangkakan kehadiran pengundi muda dalam PRK ini signifikan dan perlu diingatkan juga calon-calon di Jepak ini buat pertama kali berhadapan dengan pemilih kalangan warga muda,” katanya.

GPS yang diwakili Iskandar Turkee dari PBB menghadapi saingan dari calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dalam PRK itu.

PRK DUN Jepak diadakan ekoran penyandangnya untuk hampir enam penggal, Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia pada 15 Sept lepas.

Selain PBB, GPS turut dianggotai Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abdullah berkata baki empat hari tempoh berkempen PRK itu akan digunakan sepenuhnya untuk mendidik pengundi di Jepak memilih calon terbaik yang mampu memenuhi harapan mereka.

“Di sinilah secara tidak langsung kami cuba didik pengundi supaya calon yang mereka pilih adalah seorang yang boleh membawa harapan dan permintaan mereka disokong oleh sebuah kerajaan yang baik dan kukuh,” tambahnya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan