Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof. Foto: Bernama

MPOB lulus RM983,000 pinjaman input pertanian pekebun sawit setakat Ogos 2023 – TPM Fadillah

ByBernama

KUALA LUMPUR, 30 Okt: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah meluluskan sejumlah RM983,000 bagi membiayai pinjaman input pertanian seperti baja, racun dan benih dengan nilai maksimum RM16,250 kepada seramai 117 pekebun kecil sawit persendirian sehingga Ogos 2023.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pekebun kecil sawit tidak disyorkan untuk mengurangkan kadar input berkenaan kerana akan menurunkan hasil sawit dalam tempoh jangka panjang.

“Pengurangan kadar baja dan racun rumpai akan menyebabkan hasil sawit tidak mencapai hasil sepatutnya.

“Pekebun kecil juga dinasihatkan supaya mengamalkan pengurusan agronomi baik seperti penggunaan semula tandan kosong sawit, penyusunan pelepah yang baik dan pengawalan rumpai terpilih bagi membantu meningkatkan kecekapan pembajaan dan pengawalan rumpai di kebun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadillah menjelaskan, pembelian baja dan racun rumpai secara pukal iaitu dengan kuantiti yang banyak melibatkan beberapa orang pekebun kecil juga akan membantu mengurangkan harga input berkenaan berbanding pembelian secara persendirian.

“Mengambil kira harga semasa minyak sawit mentah (MSM) yang kukuh dan harga baja yang semakin menurun, keperluan kerajaan untuk memperuntukkan subsidi baja kepada pekebun kecil adalah kurang kritikal.

“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa memantau pergerakan harga MSM, baja serta input pertanian yang lain bagi membantu mengurangkan kos bagi pekebun kecil pada masa akan datang,” katanya.

Pada 2022, harga baja telah merekodkan peningkatan 15-35 peratus berbanding tahun sebelumnya, terutama bagi harga baja nitrogen, phosphorus dan potassium (NPK) dan Urea dan Muriate of Potash (MOP) atau pupuk MOP, namun peningkatan tersebut masih boleh ditampung memandangkan harga MSM juga di paras tinggi pada tahun sama.

“Bagi 2023, harga baja menunjukkan penurunan. Pada September 2023 harga seperti NPK turun sebanyak 24 peratus, harga urea turun sebanyak 28 peratus dan MOP turun sebanyak 35 peratus berbanding purata harga baja pada 2022,” katanya.

Menyentuh penubuhan Majlis Sawit Sabah dan Sarawak, Fadillah menjelaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan MPOB mempunyai cawangan di setiap negeri, termasuk masing-masing 14 cawangan di Sabah dan 15 di Sarawak.

Sehingga Jun 2023, sektor agrikomoditi telah menyumbang RM38 bilion atau sekitar lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala sehingga Ogos 2023, nilai eksport sektor itu mencecah RM103.5 bilion atau 11.07 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Fadillah turut menegaskan bahawa KPK komited dalam melaksanakan reformasi dasar bagi memastikan kemampanan jangka panjang sektor selain mengangkat darjat ekonomi rakyat, terutama pekebun kecil yang juga nadi penghasilan produk komoditi agar sumber kekayaan negara dapat diimbangi secara saksama. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan