BINTULU, 30 Okt: Manifesto Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak dirangka berdasarkan permintaan oleh penduduk setempat.
Calon GPS bagi PRK berkenaan, Iskandar Turkee berkata, 14 teras dalam manifesto berkenaan juga merupakan harapan pengundi di situ.
“Oleh itu sudah pastinya manifesto GPS diterima ramai kerana kita fokuskan kepada pembangunan kawasan serta belia di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS selepas menyertai sesi walkabout di Pasar Malam Bintulu di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Lukanisman Awang Sauni dan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Ditanya mengenai momentum kempen setakat ini, Iskandar berkata, beliau bersama jentera GPS bekerja dengan lebih agresif untuk mendekati pengundi dan menyeru supaya mereka keluar mengundi pada 4 November ini.
“Sepanjang 10 hari berkempen, banyak isu yang diutarakan oleh penduduk dan saya berjanji jika terpilih sebagai wakil rakyat, suara mereka akan dibawa ke pihak yang berwajib,” katanya.
Iskandar berkata, beliau menyedari perlu bekerja keras kerana setiap kawasan di Jepak mempunyai masalah yang berbeza.
“Jika di luar bandar seperti di rumah panjang, mereka ingin membaiki semula kediaman manakala di kampung pula, penduduk memerlukan jeti.
“Bagi kawasan bandar, mereka mahu dianjurkan program atau kursus peningkatan kemahiran serta libatkan mereka dengan penggunaan digital,” katanya. -TVS