Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pengurusan Kedah Darul Aman FC semalam mengakui pasukan berkenaan berdepan kemelut kewangan. Foto Bernama.

Liga Super: Masalah kewangan ancam jumlah pasukan musim depan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 29 Okt: Isu masalah kewangan sehingga menjejaskan pembayaran gaji pemain dan pegawai berpotensi menggugat perancangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mengekalkan jumlah pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim depan.

Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam yang menganggap struktur Liga Super dengan penyertaan 14 pasukan ketika ini adalah struktur terbaik pernah dilaksanakan, namun melihat ia bukan satu kemestian.

Mengambil kira isu masalah kewangan dihadapi pasukan yang kembali hangat diperkatakan, Stuart berkata MFL akan melakukan apa sahaja termasuk jika terpaksa mengurangkan jumlah pasukan bertanding demi menjaga imej liga.

“Saingan liga musim ini sepatutnya mempunyai 16 pasukan, penyingkiran Melaka United dan Sarawak United FC adalah disebabkan masalah dalaman mereka.

“Jadi jika timbul isu, kami (MFL) perlu mengurangkan kepada 13 pasukan (musim depan), jika ia harus berlaku, maka ia harus berlaku,” katanya yang mahu sebanyak 14 pasukan kekal dalam saingan musim depan, ketika ditemui selepas Majlis Penutup Liga Teqball Malaysia 2023 di sini, hari ini.

Sementara itu, Stuart mengesahkan sebanyak dua pasukan berdepan masalah kewangan dengan salah satunya adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak di media sosial bahawa separuh pasukan bertanding mengalami masalah kewangan.

Pada masa sama, beliau memuji tindakan pemilik Sang Kenari,,Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar yang berani tampil menjelaskan mengenai masalah kewangan dihadapi pasukan sehingga menyebabkan bayaran gaji pemain dan pegawai tertunggak sejak Ogos lalu, semalam.

Menurut Stuart, beliau juga sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), KDA FC, Khamal Idris Ali baru-baru ini bagi berbincang dan membantu juara Liga Super dua kali itu.

“KDA bukan ‘repeat offender’ (pesalah berulang), kita bagi ruang kepada pasukan untuk selesaikan masalah ini secara dalaman,” kata bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan